picasion.com

8 TIP MAKAN CARA SIHAT DI RESTORAN MAKANAN SEGERA

Kehidupan serba moden dan dalam dunia kesibukan ini, kecendurangan kita untuk menjamu selera di restoran segera amatlah tinggi. Kalau suatu masa dahulu amat susah untuk ketemui restoran makanan segera, kini tidak lagi, malah di pekan-pekan kecil, umpamanya Pasir Puteh Kelantan, telah ada KFC. Apatah lagi di bandar-bandar besar, restoran makanan segera berada di kawasan kejiranan kita sahaja.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tip menarik daripada majalah I-Sihat karangan Norashikin Md Nor mengenai cara makan sihat di restoran makanan segera. Saya bersetuju dengan beliau di mana kanak-kanak antara golongan yang paling gembira sekiranaya ibu bapa mengajak makan di restoran makanan segera. Burger, kentang goreng dan susu kocak merupakan makanan kegemaran yang biasanya dijadikan pilihan utama.

Bagaimana pun, kebanyakan rangkaian restoran di negara ini kini prihatin dengan keperluan orang ramai terhadap pemakanan sihat. Restoran tersebut telah mula menyajikan menu yang ada pilihan lain contohnya seperti salad, kentang bakar, sup dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, andalah penentu dalam memastikan kesihatan keluarga terjamin. Berikut adalah beberapa cadangan agar hidangan makanan segera anda berkhasiat serta mengandungi nutrien yang diperlukan tubuh badan.

1. Hindarkan daripada mengambil makanan yang bergoreng. Pilihlah hidangan yang dibakar atau dipanggang.

2. Jika anda memesan makanan yang digoreng, buang lebihan minyak yang terdapat padanya dengan cara mengesat dengan tisu serapan.

3. Pesan piza yang mengandungi cendawan, bawang dan lada hitam berbanding dengan sosej ataupun daging.

4. Sekiranya memakan salad, seboleh-bolehnya elakkan daripada dressing seperti mayonees dan lelemak sayuran yang lain. Pilih sayur dan buah-buahan segar dalam salad.

5. Jangan sekali-kali menambah garam pada makanan kerana kebanyakan hidangan dihasilkan mengikut kadar garam yang telah ditetapkan.

6. Minta susuk skim atau susu rendah lemak, jus buah-buahan atau sekadar air putih bagi menggantikan susu kocak serta minuman bergas seperti lazimnya.

7. Sebagai penambah perisa di dalam kopi yang anda pesan, gunakan susu rendah lemak dan bukannya krimer mahupun gula.

8. Elakkan daripada memakan kek, pastri dan pencuci mulut yang ternyata tinggi dari segi kalori dan kadar lemak.

picasion.com